Assalamualaikum & salam sejahtera pembaca,
Berikut merupakan artikel pertama saya dalam dunia blog ini. Segala kesilapan dalam susunan ayat dan penggunaan bahasa, saya mohon maaf terlebih dahulu.
Baiklah ~ Pada 25 Januari 2020, saya dan rakan-rakan telah menawan Bukit Baginda (450m/1476ft) yang terletak di Kampung Majau, Batu Kikir, Negeri Sembilan Darul Khusus. Misi kami adalah untuk mencari tarikan utama Bukit Baginda iaitu batu berombak (wave rock) atau lebih dikenali sebagai Batu Kerang. Jarak daripada KL ke trailhead mengambil masa lebih kurang 2 jam lebih. Kami bertolak pada jam 5:30 pagi dan singgah untuk solat Subuh berjemaah di Masjid Kariah Kampung Ibol.
Waze/Google Maps: Bukit Baginda Trailhead
Kami tiba di trailhead pada jam 8:20 pagi. Parking disediakan berhampiran trailhead. Trailhead Bukit Baginda merupakan papan tanda yang tertulis ‘Tanah Perkuburan Orang Islam Kg. Dusun Qariah Masjid Majau’. Untuk mendaki bukit ini, bayarannya adalah RM8 seorang iaitu RM3 (bayaran masuk) + RM5 (permit). Bayaran tersebut perlu dibayar di trailhead. Anda tidak perlu memohon atau menelefon Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan untuk mendapatkan kebenaran.

Sekiranya anda ingin ke TANDAS, terdapat sebuah rumah berhadapan dengan trailhead dimana anda boleh menumpang tandas di rumah tersebut. Minta kebenaran sebelum masuk ke kawasan rumah itu. Budi bahasa budaya kita. Selepas memanaskan badan, kami mula mendaki pada jam 8:35 pagi.

Terdapat lapan checkpoint untuk sampai ke puncak Bukit Baginda dan setiap checkpoint mempunyai petanda berwarna kuning. Daripada trailhead ke checkpoint 1 (CP-1), laluannya masih landai dan anda dikelilingi oleh pokok getah. Sekiranya anda nampak junction yang tiada tanda – terus sahaja. Jalan sehingga tiba di satu Y-Junction yang mempunyai tanda anak panah ke KIRI. Selepas masuk ke laluan tersebut, jalan terus sehingga tiba ke CP-1.


Kami tiba di CP-1 pada jam 8:53 pagi. Di sini, terdapat satu batu besar yang anda boleh panjat. Tiada tali keselamatan disediakan maka berhati-hatilah sewaktu memanjat. Sekiranya anda ingin memanjat batu tersebut, terdapat satu laluan yang lebih mudah dilalui di bahagian belakang batu (lihat video). Di bawah batu besar tersebut terdapat Makam Bagindo yang bertarikhkan 01-07-1511. Apabila bertanya dengan seorang tukang kebun di situ, beliau seperti tidak tahu milik siapakah makam tersebut. Sekiranya anda tahu, kongsilah ~ saya curious. Kebiasaannya, hikers akan memanjat batu ini untuk bergambar. Hal ini kerana, anda tidak boleh memanjat batu berombak yang terdapat di puncak.


Setelah melepasi CP-1, maka bermulalah hiking yang sebenar. Laluan hutan yang mencanak sehingga ke puncak. Pastikan anda menyimpan tenaga secukupnya. Anda akan melepasi tujuh checkpoints sebelum tiba ke puncak. Jarak antara checkpoints tersebut tidaklah jauh. Anda boleh berehat di setiap checkpoint jika perlu kerana setiap checkpoint mempunyai petanda kuning kecuali CP-3. Saya tidak menjumpai CP-3.

Walaupun batu berombak terletak di puncak bukit. Anda juga boleh lihat beberapa batu yang mempunyai bentuk unik dan cantik sewaktu mendaki.




Terdapat beberapa kawasan yang anda perlu menggunakan tali untuk mendaki maka anda dinasihat untuk membawa gloves jika perlu. Berhati-hati ketika memegang dahan pokok kerana sesetengah pokok ini berduri dan boleh melukakan kulit dan hati anda. Salah seorang ahli kumpulan saya telah terluka tangannya kerana tersentuh dahan berduri.

CP-8 merupakan puncak Bukit Baginda. Di puncak ini cuma ada banner dan bendera Malaysia. Tiada pemandangan ‘awan karpet’ ataupun matahari terbit. Oleh sebab itu, kebanyakkan hikers akan mula mendaki bukit ini lewat iaitu pada jam 7:30 pagi – 8:30 pagi. Setelah penat mendaki, kami berehat di puncak sambil bermain ‘game focus’. Gambar di bawah menunjukkan generasi kini yang tidak boleh berpisah dengan telefon pintar masing-masing.

Perjalanan lebih kurang 2 minit untuk sampai ke batu berombak (wave rock) daripada puncak. Laluan ke batu berombak sedikit menurun. Apabila tiba di batu tersebut anda pasti akan terkejut melihat betapa besar dan cantiknya batu itu. Sesetengah orang memanggil batu tersebut sebagai Batu Kerang mungkin kerana bentuknya. Ruangan untuk mengambil gambar di batu berombak ini agak sempit. Kami beruntung kerana sewaktu kami berada di sini tiada kumpulan lain. Ketika mengambil gambar untuk Instagram anda, pastikan jurugambar berjaga-jaga apabila mengundur kebelakang kerana jika tersalah langkah – boleh jatuh gaung.



Kami mula penurunan dari batu berombak ke kereta pada jam 10:40 pagi. Laluan menuju kebawah adalah laluan yang sama seperti laluan mendaki keatas. Kami mengambil masa selama 1 jam 10 minit untuk tiba ke tempat letak kereta (11:50 pagi).
Selepas tiba di kereta, kami telah pergi ke Hutan Lipur Jeram Tengkek iaitu 10 minit menaiki kereta daripada trailhead Bukit Baginda. Terdapat sungai yang anda boleh bermandi-manda bersama keluarga/rakan-rakan tercinta. Airnya yang sejuk boleh menambahkan tenaga anda yang hilang selepas mendaki. Tandas dan shower disediakan di sini.

Ringkasan Bukit Baginda:
- Ketinggian = 450m / 1476ft
- Bayaran = RM3
- Permit = RM5
- Parking = percuma
- Tandas = percuma
- Durasi = 1.5 – 2 jam
- Pemandangan = tiada
- Tarikan = Batu Berombak (wave rock)
- Tahap Kesukaran = 7.5/10
Wallahua’lam ~