Bukit Gasing | Tips Memahami Laluannya | Januari 2020

Assalamualaikum wbt & salam sejahtera pembaca,

Artikel ini akan membantu anda yang bercadang untuk pergi ke Hutan Pendidikan Bukit Gasing, Petaling Jaya. Bukit Gasing merupakan bukit yang disebut-sebut oleh para hikers. Hal ini mungkin disebabkan lokasinya yang terletak dekat dengan ibu negara Kuala Lumpur. Bukit Gasing terletak di antara sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor Darul Ehsan.

Lokasi Hutan Pendidikan Bukit Gasing dalam Google Maps. Garisan putus-putus adalah sempadan KL & Selangor.

Pada 18 Januari 2020, saya berpeluang mendaki Bukit Gasing bersama 10 orang rakan. Kami berkumpul di trailhead utama pada jam 8:00 pagi. Untuk pengetahuan pembaca, Bukit Gasing ini mempunyai lebih daripada satu trailhead. Trailhead utama terletak pada simpang antara Jalan Telok dan Jalan Tanjong 5/4. Perbezaan trailhead ini dengan yang lain adalah di sini terdapat satu pintu gerbang yang tertulis ‘Selamat Datang Hutan Pendidikan Bukit Gasing‘. Bukit Gasing adalah percuma kepada semua orang. Pada waktu pagi, anda boleh lihat ramai hikers berkumpul si situ. Malah jalan raya sekitarnya juga sesak.

Waze/Google Maps = Bukit Gasing Forest Park Main Entrace

Trailhead utama Bukit Gasing.

Parking di Bukit Gasing agak sukar kerana ianya sangat terkenal dalam kalangan masyarakat dan semakin ramai orang ke sana. Parking kereta disediakan 180 meter daripada trailhead utama dan ianya dilengkapi dengan tandas. Kedua-dua parking dan tandas tersebut percuma kepada orang awam. Walaubagaimanapun, parking ini agak kecil dan terhad, sila datang lebih awal jika anda tidak mahu berebut dengan hikers lain. Di dalam Waze atau Google Maps, lokasi parking ini dinamakan sebagai ‘Bukit Gasing Parking and Toilet‘.

Tempat letak kereta dan tandas disediakan kepada pelawat Bukit Gasing.

Sekiranya parking ini penuh, anda juga boleh parking kereta anda di bahu jalan raya sekitar trailhead. PERINGATAN!: Anda hanya boleh parking pada bahu jalan yang mempunyai garisan berwarna putih. Jangan parking pada garisan berwarna kuning kerana anda akan disaman. Maaf, saya tiada gambar jalan raya sekitar trailhead, anda boleh baca blog lain untuk fahami lebih lanjut.

Selain risiko kereta anda disaman, anda juga mempunyai risiko kereta dipecah oleh penjenayah. Terdapat beberapa kes pecah kereta yang pernah berlaku di Bukit Gasing. Oleh yang demikian, pastikan barangan berharga anda tidak boleh dilihat daripada luar kereta. Simpan semua di dalam but kereta (bonet belakang).

Parking motosikal disediakan di hadapan trailhead.

Selain trailhead di atas, terdapat dua lagi lokasi dimana anda boleh parking kereta anda. Saya kurang mahir tentang lokasi tersebut maka anda boleh rujuk blog lain. Saya akan nyatakan lokasi tersebut mengikut nama yang diberi oleh Google Maps:

  1. Bukit Gasing Via Hillpark Trailhead
  2. Taman Rimba Bukit Kerinchi
Kami sedang menunggu rakan-rakan yang lain di trailhead.

Baiklah ~ Selepas selesai sesi berkenalan dan panaskan badan, kami mula pendakian pada jam 8:50 pagi. Bukit ini mempunyai laluan yang sangat mengelirukan kerana sangat bersimpang-siur. Anda dinasihatkan untuk datang bersama-sama rakan yang sudah mahir dengan selok belok bukit ini. Jika tiada, anda boleh bertanya dengan hikers yang berselisihan dengan anda. Hal ini kerana, sebahagian daripada mereka menjadikan Bukit Gasing sebagai bukit latihan untuk aktiviti pendakian yang lebih mencabar.

Keindahan Bukit Gasing apabila cahaya matahari terpancar ke lantai hutan melalui celah-celah pokok.

Sekiranya kesemua rakan hiking anda tidak pernah datang ke sini seperti kumpulan saya, nasihat saya kepada anda adalah – muat turun applikasi ‘AllTrails‘. Saya berani katakan bahawa peta Bukit Gasing dalam applikasi ini adalah 95% tepat dengan laluan sebenar Bukit Gasing. Sangat membantu saya dan rakan-rakan. Jika anda ikut laluan yang terdapat dalam applikasi ini, anda boleh melalui shortcuts yang tidak ramai hikers guna.

Applikasi AllTrails boleh dimuat turun secara percuma daripada App Store & Google Play.

Selepas muat turun AllTrails, pastikan applikasi ini disambung dengan GPS telefon anda. Buka applikasi AllTrails dan anda hanya perlu search ‘Bukit Gasing’. Beberapa pilihan akan terpapar seperti berikut:

Terdapat tiga pilihan yang anda boleh lihat dan kesemuanya sama sahaja. Pilihlah mana-mana yang anda suka. Objektif kita hanyalah untuk melihat peta Bukit Gasing. Untuk penjelasan ini, saya telah memilih ‘Bukit Gasing KL View Loop’. Selepas pilih, anda akan dibawa ke paparan berikut:

Tekan ‘View Full Map’ sehingga keluar peta keseluruhan Bukit Gasing seperti gambar di bawah. Daripada peta tersebut, anda boleh lihat beberapa jenis garisan dan petunjuk. Garisan putus-putus (berwarna hitam) bermaksud trail di Bukit Gasing. Oleh itu, sekiranya anda bertemu dengan Y-Junction, buka applikasi AllTrails dan pilih laluan mana menghala ke destinasi anda. Garisan merah pula bermaksud laluan yang pernah digunakan hikers sebelum ini. Kedudukan semasa anda adalah titik berwarna biru (tiada dalam gambar).

Peta Bukit Gasing daripada applikasi AllTrails.

Di Bukit Gasing, tiada titik puncak yang khusus tetapi terdapat 4 tarikan utama yang sering dilawati oleh para hikers. Saya dan rakan-rakan berpeluang melihat 3 daripada tarikan tersebut. Saya tidak akan menjelaskan cara untuk ke setiap tarikan itu kerana terlalu banyak simpang siur yang boleh mengelirukan anda. Gunalah applikasi AllTrails. Tarikan utama di Bukit Gasing adalah seperti berikut:

  1. Temple Maha Sivan Alayam & Menara TM (Selatan)
  2. Jambatan Besi di Taman Rimba Bukit Kerinchi (Timur)
  3. Jambatan Gantung @ Suspension Bridge (Utara)
  4. Lookout Point (Tengah)

Kami telah mendaki ke Temple terlebih dahulu, diikuti dengan Jambatan Besi dan berakhir di Jambatan Gantung. Kami tiba di Temple pada jam 9:30 pagi. Laluan ke Temple adalah laluan yang paling sukar jika dibandingkan dengan laluan ke tarikan yang lain. Ianya mencanak sehingga ke atas. Di Temple ini, anda boleh lihat pemandangan bandar Petaling Jaya. Malah di satu sudut, anda juga boleh lihat pemandangan Kuala Lumpur dari jauh.

Laluan ke Temple yang mencanak.
Pemandangan Petaling Jaya daripada Temple.
Pemandangan Kuala Lumpur yang jauh.

Kami tidak memasuki ke Temple tersebut kerana menurut kebanyakkan blog, anda tidak dibenarkan masuk ke sana. Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat Malaysia rakyat yang berbilang kaum haruslah menghormati budaya @ adat @ agama lain.

Terus sahaja untuk pergi ke Menara TM.

Berhampiran dengan Temple tersebut, adanya Menara Pemancar TM. Kepada pencinta kucing, anda pasti suka kerana terdapat begitu banyak kucing-kucing yang comel di sini. Mungkin ianya dijaga oleh Pak Cik Guard TM. Anda boleh beri makanan kepada kucing-kucing ini.

Menara TM berhampiran Temple.
Kasihanilah kucing-kucing yang kelaparan ini.

Kami teruskan misi kami mencari Jambatan Besi pula. Lokasinya terletak di Taman Rimba Bukit Kerinchi. Kami melalui beberapa shortcut yang diberikan oleh AllTrails. Laluan shortcut ini berkemungkinan lebih sukar daripada laluan yang lain kerana ianya lebih mencanak dan berlecak. Contohnya seperti gambar berikut:

Shortcut: Laluan berlecak dan mencanak yang lebih mencabar.
Perlu menyeberangi sungai yang cetek. Pastikan kasut anda tidak basah semasa menyeberangi.

Kami tiba di Taman Rimba Bukit Kerinchi a.k.a. Jambatan Besi pada jam 10:30 pagi. Perjalanan daripada Temple ke Jambatan Besi mengambil masa lebih kurang 30 minit termasuk rehat. Lokasi ini kelihatan lebih moden berbanding tarikan yang lain. Laluannya berbatu, bertangga dan ada pondok untuk anda berehat atau berkelah. Terdapat juga air terjun mini. Kami berehat selama 15 minit di sini sebelum menuju ke Jambatan Besi untuk bergambar.

Laluan berbatu untuk memudahkan pelawat.
Air terjun mini.
Jambatan Besi atau Hanging Bridge (menurut AllTrails)
Bergambar dalam bayangan Jambatan Besi untuk mengelak daripada cahaya matahari.

Selepas selesai bergambar, kami menuju ke Jambatan Gantung yang terletak di sebelah utara Bukit Gasing. Untuk pengetahuan semua, Jambatan Gantung tersebut merupakan tarikan yang paling jauh daripada trailhead utama. Anda perlu mendaki beberapa puncak sebelum tiba ke sana. Laluannya juga bersimpang siur yang boleh mengelirukan anda maka gunalah AllTrails. Laluan yang kami guna lebih mencabar dan tidak ramai orang.

Laluan mencanak serta tidak ramai orang gunakan.
Laluan berakar. Elakkan kaki anda daripada terseliuh.
Laluan menuju ke Jambatan Gantung daripada Jambatan Besi.

Kami tiba di Jambatan Gantung pada jam 11:40 pagi. Perjalanan daripada Jambatan Besi ke Jambatan Gantung mengambil masa lebih kurang 40 minit termasuk rehat. Menurut Google Maps, jambatan ini dinamakan sebagai ‘Suspension Bridge, Hutan Pendidikan Bukit Gasing‘. Jambatan tersebut kelihatan tidak kukuh untuk menampung orang yang ramai. Pastikan jarak anda dengan orang depan dan belakang adalah 5 meter.

Jambatan Gantung.

Selepas berehat dan berbual di Jambatan Gantung, kami pulang menuju ke kereta yang terletak di trailhead utama. Kami keluar menggunakan trailhead yang berhampiran dengan Jambatan Gantung (gambar di bawah). Selepas keluar, kami melalui jalan raya iaitu Jalan Tanjong 5/4 sehingga tiba ke pintu gerbang trailhead utama. Jaraknya sejauh 1.2 KM dan kami berjalan selama 15 minit.

Trailhead berhampiran dengan Jambatan Gantung. Terletak di Lorong Tanjong (5/4J)
Gambar terakhir geng hiking Bukit Gasing.
Penat + Lapar = Happy!

Ringkasan Bukit Gasing:

  • Ketinggian = tidak dinyatakan
  • Bayaran = percuma
  • Permit = tiada
  • Parking = percuma
  • Tandas = percuma
  • Durasi = bergantung
  • Tarikan = Maha Sivan Alayam (temple), Jambatan Besi, Jambatan Gantung
  • Pemandangan = bandar Petaling Jaya dari temple
  • Tahap Kesukaran = 5.5/10
Video: https://youtu.be/7EzBrgMMjNg

Wallahua’lam ~

Published by acappower

Someone who love Mathematics and Hike

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started