Bukit Botak, Puncak Alam | Menawan 2 Puncak dalam Sehari | Februari 2020

Assalamualaikum wbt & salam sejahtera pembaca,

Pada tanggal 29 Februari 2020, saya bersama 6 orang rakan telah berjaya menawan Bukit Botak dan Bukit Cerakah yang terletak di Puncak Alam, Selangor. Apabila digoogle, jangan tersilap dengan Bukit Botak yang terletak di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Lokasi sebenar agak sukar dicari di dalam Waze/Google Maps kerana ada banyak pilihan yang boleh mengelirukan anda. Jika salah pilih, anda berkemungkinan akan dihantar ke tanah perkuburan sunyi di dalam hutan. Nama lokasi yang anda boleh tulis di dalam Waze/Google Maps adalah:

Waze/Google Maps: Bukit Cherakah Trailhead, Puncak Alam, Kuala Selangor

PERINGATAN! Jangan tertinggal perkataan ‘Trailhead‘ kerana “Bukit Cherakah” atau “Bukit Cerakah” dalam Waze akan menghantar anda ke starting point yang salah.

Kereta diparkir di bahu jalan berdekatan trailhead.

Apabila tiba di trailhead, anda boleh parkir di bahu jalan secara percuma. Pastikan barangan berharga tidak kelihatan dari luar kereta anda. Walaupun tiada kes kecurian berlaku tetapi langkah berjaga-jaga haruslah diambil. Di trailhead Bukit Botak, tiada tandas disediakan maka pastikan hajat anda dibuang di stesen minyak sebelum tiba di parkir.

Selain tiada tandas, yuran masuk dan permit juga tiada. Memandangkan tiada yuran, pastikan kumpulan anda menjaga kebersihan Bukit Botak dan Bukit Cerakah ini. Tujuan kita mendaki adalah untuk melihat keindahan alam semula jadi. Jangan rosakkan pandangan itu dengan sikap tidak bertanggungjawab kita.

Trailhead Bukit Botak, Puncak Alam

Selepas memanaskan badan, kami memulakan pendakian pada jam 8:15 pagi. Pada mulanya, anda akan melalui ladang kelapa sawit (Checkpoint 1). Laluan di ladang ini sedikit mendaki tetapi tidak terlalu mencanak. Masih boleh kompromi. Kawal pernafasan anda kerana masih jauh perjalanan ke puncak dan trail akan menjadi semakin mencabar.

Kanak-kanak riang sedang melalui ladang kelapa sawit (CP1).

Selepas 20 minit mendaki, anda akan tiba di Checkpoint 2 iaitu pencawang elektrik TNB dengan pemandangan ladang kelapa sawit yang cantik. Di checkpoint ini, terdapat dua laluan ke Checkpoint 3. Pertamanya laluan kepada pendaki manakala kedua adalah laluan kepada bikers. Kami menggunakan laluan pendaki. Terdapat satu lokasi yang sedikit licin dan mencanak dimana tali bantuan disediakan untuk mendaki. Walaupun tali bantuan disediakan, ia masih dikategorikan mudah dan sesuai digunakan oleh kanak-kanak.

Geng hiking Bukit Botak yang tak cancel last minute. Gambar diambil di bawah pencawang elektrik TNB (CP2).

Checkpoint 3 adalah Kem Paet. Sepanjang laluan ke Bukit Botak, lokasi yang mempunyai pemandangan tercantik adalah di Kem Paet. Terdapat pemandangan ladang kelapa sawit yang sangat luas. Jika anda membaca blog-blog lain, terdapat satu lokasi dengan petanda ‘Kem Paet’ tetapi malangnya kami tidak jumpa petanda tersebut. Oleh itu, andaian saya adalah Kem Paet merupakan lokasi dengan view tercantik ini.

Berhati-hati ketika mengambil swafoto atau gambar berkumpulan. Tersalah langkah boleh menyebabkan nyawa anda atau rakan hilang. Tanah di situ sedikit licin.

Pemandangan ladang kelapa sawit dari CP3. Lokasi paling cantik dan sesuai untuk bergambar.
Usrah ringkas kepada kanak-kanak ribena mengenai erti kehidupan.
Pakailah sunscreen kerana matahari umpama sejengkal di atas kepala.
Walaubagaimanpun, lighting semula jadi merupakan yang terbaik untuk mengambil gambar.

Apabila berjalan dalam 3 ke 5 minit dari Kem Paet, anda akan menjumpai satu batu besar di sebelah kiri. Lokasi sesuai untuk mengambil gambar berkumpulan. Berhati-hati sewaktu memanjat batu tersebut kerana ia bersebelahan gaung. Batu tersebut boleh dilihat pada gambar di bawah.

Model-model al-Ikhsan yang pantang nampak batu.

Selepas mendaki dalam 25 minit, anda akan tiba di puncak yang pertama iaitu Bukit Cherakah (Checkpoint 4). Dikenali juga dengan Bukit Cerakah. Ketinggian bukit ini adalah 214m. Puncak Cherakah merupakan salah satu puncak sebelum anda tiba di puncak Bukit Botak. Tiada pemandangan cantik di sini tetapi anda boleh berehat sebelum meneruskan perjalanan. Di puncak Cherakah terdapat beberapa pondok buatan yang anda boleh duduk jika tiada orang ~ duhh.

Puncak Bukit Cherakah. Kawasan yang teduh dan sesuai untuk berehat.

Checkpoint yang terakhir sebelum tiba di puncak Botak adalah Kem Tagar (Checkpoint 5). Di sini terdapat tarikan yang dikenali sebagai Pokok Sotong. Ini kerana dahannya mempunyai bentuk unik seperti sotong. Terdapat juga petanda Kem Tagar tetapi malangnya sudah patah. Boleh lihat gambar di bawah. Apabila anda tiba di Kem Tagar, jarak ke puncak sudah tidak jauh, lebih kurang 10 minit sahaja untuk ke puncak.

Pada mulanya kami sangkakan ia ‘Kem Tacar’. Sengetkan kepala untuk membacanya.
Swafoto di Kem Tagar (CP5).
Pokok Sotong di Kem Tagar. Cantikkan?

Daripada Kem Tagar ke puncak Botak, laluannya sedikit menurun. Tetapi tidak curam, masih boleh kompromi. Jangan terkejut apabila tiba di puncak Botak. Ianya berbeza dengan puncak bukit/gunung lain. Puncaknya tiada view, panas dan agak menyedihkan kerana ditarah oleh manusia yang tidak mencintai alam semula jadi. Tiada tempat yang sesuai untuk anda mengambil gambar. Daripada trailhead ke puncak, kami mengambil masa selama 1 jam 15 minit untuk sampai. Jika anda tidak banyak berhenti, mungkin boleh sampai dalam 40 ke 50 minit.

Puncak Bukit Botak yang lapang. Sesuai dijadikan tapak kenduri kahwin atau tempat letak kereta.

Jika anda lihat pada gambar di atas, terdapat dua puncak di belakang kami. Puncak tersebut tidak boleh didaki kerana kawasan itu telah dijadikan tapak pembinaan. Di bahagian kanan gambar tersebut, terdapat kawasan yang teduh dan anda boleh berehat. Nasihat saya, bawalah kad uno atau kartu (daun terup) untuk bermain di puncak.

Disebabkan curam dan tiada tali disediakan, kami tidak boleh turun untuk mendaki dua puncak tersebut.
Bergambar sajalah mampu walaupun lighting kami tak baik.

Checkpoints Bukit Botak:

  1. Ladang Kelapa Sawit
  2. Pencawang Elektrik TNB
  3. Kem Paet
  4. Bukit Cherakah
  5. Kem Tagar
  6. Puncak Bukit Botak

Secara keseluruhan, Bukit Botak dikategorikan sebagai bukit yang mudah. Ia sesuai didaki oleh setiap lapisan masyarakat yang sihat tubuh badannya. Nasihat saya kepada pendaki yang berminat ke sini adalah untuk mula seawal 6:00 ke 6:30 pagi. Ini kerana, jika anda lewat, keadaan di puncak Botak akan menjadi sangat panas. Bawalah sunscreen kepada mereka yang menjaga kebajikan kulitnya. Berhati-hati apabila mengambil gambar. Jaga kebersihan Bukit Botak. Enjoy.

Ringkasan Bukit Botak:

  • Ketinggian = Bkt. Botak (tidak dinyatakan) & Bkt. Cerakah (214m)
  • Bayaran = percuma
  • Permit = tiada
  • Parking = percuma
  • Tandas = tiada
  • Durasi = 1 jam
  • Tarikan = Pokok Sotong
  • Pemandangan = Ladang Kelapa Sawit
  • Tahap Kesukaran = 3.5/10
Video: https://youtu.be/m0ZmJQQb-EE

Wallahua’lam ~

Published by acappower

Someone who love Mathematics and Hike

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started